Ini bersandarkan kepada hadis berikut :
Rasulullah s.a.w. menunaikan solat Subuh di mana pembacaan Baginda agak berat (kerana terganggu) dan tatkala tamat solat, Baginda bersabda yang bermaksud : " Aku dapati kamu membaca (al-Quran) di belakang imam." Sahabat menjawab: "Ya mengapa, wahai Rasulullah?" Baginda berkata: "Janganlah kamu berbuat demikian kecuali bacaan Umm al-Quran kerana tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Jangan sesekali seseorang kamu membaca apa jua al-Quran tatkala aku (sebagai imam) mengeraskan bacaan kecuali bacaan Umm al-Quran (al-Fatihah) (Riwayat al-Dar Qutni, Ahmad)
Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan sanadnya bertaraf hasan menurut al-Hafiz Ibn Hajar bermaksud : "Jangan kamu membaca kecuali al-Fatihah (di belakang imam)." (Nay al-Awtar, jil. 2, hlm. 511)
Kesalahan Biasa Ketika Membaca al-Fatihah
- Membaca tanpa wakaf.
- Berhenti (wakaf) di tempat yang dilarang berhenti.
- Bertukar makhraj huruf-huruf.
- Melalaikan pembacaan di tempat yang perlu tasydid; iaitu di 9 tempat.
Menyebut ''Amin'' di Akhir al-Fatihah
Lafaz ''amin'' bererti ''perkenankanlah'' disunatkan untuk para makmum mengucapkan bersamam-sama imam. Ia berdasarkan hadis Abu Hurairah yang bermaksud: ''Apabila imam mengucapkan lafaz ''amin'', para malaikat turut sama mengaminkannya bersama-sama imam kerana sesungguhnya sesiapa lafaz aminnya bertepatan dengan lafaz para malaikat, diampunkan baginya dosa yang terdahulu.'' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika imam lupa menyebut ''amin'', para makmum boleh menguatkan ''amin'' bagi mengingatkan imam kerana ia adalah termasuk dalam perkara sunat. (Al=Mughni, jil. 2, hlm. 38)
Saktah Sebelum dan Selpas al-Fatihah
Sunat jika menjadi imam bagi solat berjemaah untuk saktah (berhenti sebentar) sebelum dan selepas membaca al-Fatihah dan sebelum memulakan bacaan surah. Ia adalah ijtihad mazhab Syafi'i dan Hanbali.
(Al-Mughni, jil 2, hlm. 40)